Muzik bergenre hip-hop sememangnya mempunyai pengaruh dan pengikut yang cukup besar dalam industri hiburan. Di Malaysia khususnya, kemeriahan genre ini diteruskan dengan rilisan-rilisan hebat bermula seawal Januari 2023. Saya telah memilih sebuah album untuk saya kongsikan apa yang dirasa namun tulisan ini adalah sekadar pandangan peribadi sahaja sebagai seorang pendengar dan tidak menyentuh secara teknikal tentang keseluruhan album/muzik.
Dirilis 13 Januari lalu, album M16 di bawah nama 53 UNIVERSE mengandungi 16 lagu keseluruhan namun hanya 13 lagu yang tersedia di platform penstriman digital. Dibarisi sembilan pemuzik yang fokusnya bukan pada rap semata seperti Pele L., Fuego, Ryb3na, Mad Muz, YBJ, A2M, AMK, IMRN dan Faiz Ruzayn. Berlatarbelakangkan Taman Melawati dan sekitar, mereka bersama membawa identiti Melawati atau M-Side. 53 juga dilihat cukup utuh di belakang tabir melibatkan pengurusan media sosial, visual dan fotografi serta kualiti bunyian (mix, master, produce). Kehadiran bakat-bakat ini dalam satu kolektif untuk menghidangkan muzik moden dan segar sangat membanggakan.
Keserasian Pele L. dan Fuego nyata tidak boleh dipertikaikan lagi. Lagu “No Keys” dan “Celebration” membawa aura mereka ke satu tahap tersendiri dan jelas mereka antara duo terbaik dalam industri. Sejujurnya, album ini berjaya menyerlahkan keunikan vokal Fuego lebih-lebih lagi menerusi lagu “Gard O Gard”. Tak jumpa satu perkataan tepat namun itulah kesimpulan ringkas sepanjang mendengar karyanya sebelum ini. Impak daripada pengalaman mereka yang lebih awal mencebur diri dalam industri memainkan peranan penting dalam menjadikan M16 satu produk yang solid.
Mengulang dengar “4PF All Day”, “M 2 Tha Sky” dan “Qalim” untuk mengesahkan bahawa penyampaian YBJ kedengaran tegas namun masih mengekalkan mood yang sesuai dalam setiap lagu. Lirik “Roger circle lu we link up on the other side / Bawa body bags if perlu cos we got a homicide” dari “4PF All Day” jika digambarkan dalam babak filem aksi akan mewujudkan rasa teruja kepada penonton. Sebutan side-homicide dalam lagu ini juga antara yang menarik. Korus oleh A2M pula menjadikan “4PF All Day” kedengaran lebih santai. Manakala lagu “Sunyi”, “Pendam”, “Buntu”, dan “Aku, Kau & Bintang” mampu mencuri perhatian umum dengan melodi yang menarik dan mudah diingati. Saya ambil lirik seperti “Aku sudah buntu / Hidup celaru ditembak peluru” dari trek 9 “Buntu” (Buntu) atau “Jiwaku dah lama sunyi / Dalam malam kelam kedinginan” dari trek 4 “Sunyi” berkait rapat dengan ramai orang dalam situasi yang sama mungkin ceritanya berbeza.
Lagu cinta dan berkisar perhubungan seperti “Pendam” dan “Aku, Kau & Bintang” membawa pendengar ke ruang krisis-romantis, terpulang kepada pendengar untuk mentafsirkannya. Lirik seperti “Kenapa kau mula berubah hati / Sedangkan aku juga masih di sini” dari trek 3 “Pendam” mengundang emosi walau melodinya tidak mendayu. Potensi A2M, AMK, IMRN dan Faiz Ruzayn juga tidak kurang hebatnya. Saya percaya akan ada lagi karya berkualiti bakal diterbitkan nanti seterusnya menambah nilai mereka sebagai pemuzik serba boleh.
Selain itu, Mad Muz memercik api semangatnya melalui lagu “Muz Drill (Interlude)”. Lagu berdurasi 1 minit 28 saat itu walau terasa singkat tetap mampu menonjolkan kelebihannya. Sebaris lirik “Dua tahun diam my flow multiply” seperti amaran bahawa Mad Muz kini lebih bersedia. Digandingkan bersama Ryb3na untuk lagu “SCDT” menyemarakkan mutu dan keserasian mereka memandangkan mereka juga ada kolaborasi selain dalam album ini. Ryb3na bukan nama asing dalam kalangan pendengar hip-hop dan berterusan membuktikan kemampuannya apabila lagu “OKAY” disampaikan dengan begitu baik sekali. YBJ, Mad Muz dan Ryb3na bersama satu kolektif/rekod label lain sebelum berhijrah ke 53 Entertainment.
Dua ke tiga lagu bagi setiap individu sudah cukup untuk memperkenalkan barisan ini kepada penggemar muzik tanah air. Mesej dan penceritaan berbeza ditampilkan dengan cara masing-masing, itu juga kunci kepada kelainan yang saya maksudkan. Pergerakan muzik mereka semakin aktif sehingga ke hari ini. Saya menantikan rilisan/projek akan datang setelah Dokumentari 53 dan video muzik trek 11 “M 2 Tha Sky” dilancarkan di laman Youtube atau album fizikal lengkap 16 lagu yang masih belum mula penjualannya. Tinggi harapan saya untuk melihat lebih banyak kumpulan rap yang komited dan menggalas tanggungjawab pada setiap karya yang dihasilkan. Semoga 53 UNIVERSE mengekalkan momentum ini dalam usaha membawa perubahan dan penerimaan baru terhadap genre hip-hop.
Dengarkan M16 di Spotify:







Leave a comment