An online music magazine based in Kuala Lumpur, Malaysia

Sxph: Tentang Album Angkasa Lepas, Impian Showcase Di Pusat Sains Negara Dan Hal-Hal Lain

Rapper dari Ampang, Sxph, berbincang mengenai album Nisbah Sinematik Resolusi Penuh, impian showcase di Pusat Sains Negara dan hal-hal lain.

Mendengar bunyian angkasa lepas menerusi album terbaru Sxph, Nisbah Sinematik Resolusi Penuh (NSRP) sememangnya memberikan satu out-of-body experience. Konsep album angkasa lepas menjadi latar belakang untuk lagu-lagu yang berkisar tentang jatuh bangun dalam kehidupan dan karier sebagai pemuzik, juga terselit unsur ketuhanan serta berlapang dada menerima takdir. Dengan 14 lagu dan penampilan daripada 9 pemuzik jemputan termasuk TASHEY dan Firwan Johan, Sxph mempersembahkan album sulungnya yang menghimpunkan luahan peribadi.

Sxph, atau nama sebenar Farid Sabaruddin, menghasilkan album ini kebanyakannya secara solo, dari segi lirik, sound design sehingga ke visual. Sebagai seorang penggemar genre filem sci-fi, Sxph mendapatkan inspirasi vibe dan feel untuk NSRP daripada filem “Ad Astra” (2019) arahan James Gray. Malah, filem-filem seperti “Interstellar”, “Prometheus” dan “Dune” juga banyak mempengaruhi album ini dari segi visual dan sound fx yang digunakan. Metafora bagi album ini digambarkan seperti sebuah filem tentang seseorang yang memencilkan diri ke angkasa lepas dan bagaimana penceritaannya bila dia kembali ke bumi.

“Saya bukan seorang pemain muzik tradisional, tapi produser yang more sample based dalam pembikinan muzik. Jadi approach saya lebih kepada sound design,” katanya semasa ditemu bual melalui Instagram.

Selain daripada elemen-elemen filem sci-fi, Sxph juga banyak mengambil inspirasi daripada genre muzik seperti gospel, soul dan jazz tetapi disulam dengan elemen yang lebih moden seperti trap beats. Menurut Sxph, gospel chords mempunyai vibe yang lebih besar dan epik. Sxph sendiri meminta  Zhe Kamil, komposer dan juga rapper muda yang terkenal dengan lagu-lagu seperti Tunggu dan Sebentar, untuk menggunakan gospel chords dalam lagu “Matahari”. Walaupun Sxph tidak memilih untuk bergerak ke arah tradisional atau nusantara seperti Kmy Kmo yang mencurahkan elemen tersebut dalam lagu-lagu seperti “Zuhud” dan “Gong Nekara”, hasil NSRP dapat membuktikan tiada masalah untuk pemuzik mengembangkan karya mengikut kemampuan. Setiap pemuzik berhak untuk mencari dan memilih arah tuju bunyian muzik mereka.

Sxph turut berkongsi bunyi angkasa lepas yang dipilih untuk menghiasi setiap lagu mempunyai kaitan dengan kehidupan peribadinya. Intipati lagu mungkin berkenaan hidup tetapi sfx yang digunakan seperti bunyi-bunyi mekanikal dan industrial yang ada disebalik lagu-lagu seperti pembuka album “Malap” dan trek 6 “Matahari” menguatkan setiap jalan cerita. Dengan lirik ketuhanan dan kekhilafan yang sering diulang, “Matahari” dipilih menjadi single utama NSRP dan didampingi oleh sebuah visual animasi 3D/music video yang dihasilkan sendiri oleh Sxph menerusi software Blender.

“Personally, ini adalah lagu yang saya tulis untuk meluahkan segala kerisauan dan kepincangan dalam hidup ini yang saya lalui semasa lockdown.

“Lagu ini juga membantu saya untuk mengingatkan diri bahawa segala masalah akan jumpa penyelesaiannya, (jika saya) yakin dengan ketentuan Allah S.W.T walaupun mungkin jalan hidup itu bukan apa yang dikehendaki.”

Dari segi pembungkusan dan reka bentuk, NSRP menawarkan album fizikal yang cukup ringkas namun masih mewakili idea asal. Sxph juga berkata perancangan awal untuk showcase NSRP memilih Pusat Sains Negara sebagai panggung yang boleh melengkapkan kisah-kisah dalam album ini.

Namun impian itu tidak kesampaian.

“It would go great with the theme but kita hanya merancang dan cuba, (dan) tak jadi. Namun saya tetap berpuas hati kerana 100% di dalam album ini adalah saya dari segi lirik, bunyi, design dan visual.

“I’m proud to say konsep album macam ini jarang ada di Malaysia. Tapi tujuan utama saya buat semua ini adalah untuk berkongsi seni saya dengan cara saya dari kanta mata saya,” katanya.

Menurut Sxph, tajuk album NSRP tercetus sebaik saja EP Lumayan dilancarkan pada tahun 2019.

“Proses pertama (adalah) tajuk album. Jadi sepanjang tahun 2020 semasa lockdown saya mula untuk record demos for the album. First track dalam album NSRP (iaitu) “Crash Landing” saya record tahun 2020.”

Sxph kemudian membina rangka lagu-lagu dengan tajuk dahulu. Tajuk umpama key phrase untuk Sxph kembangkan menjadi sebuah lagu. Hasil kerja yang teliti dalam memastikan kesinambungan tema angkasa untuk 14 lagu dalam NSRP wajar diberi pujian kerana angkasa itu ‘hidup’.

Beralih kepada kandungan album pula, Sxph berkata ‘wordplay’ seperti lagu “Malap” sebagai permulaan album dan berakhir dengan lagu “Sinar” sememangnya disengajakan. Perkongsian Sxph berkenaan ini memang berkait peribadinya sendiri, namun itulah yang menjadi faktor utama untuk sesuatu karya terasa jujur dan dekat bukan sekadar di telinga malah di jiwa pendengar. 

Foto milik @mvlkalidua

“Malap” adalah simbolik kepada fasa hidup Sxph, yang bergelumang dengan masalah. Bunyi sfx scanning dalam interlude intro tersebut adalah metafora kepada Sxph yang mencari dirinya kembali. “Sinar” pula dimasukkan bait bunyi dari Mooji, seorang guru rohani berasal dari Jamaica. Katanya, ilmu spiritual dari Mooji banyak membantu ketika dirinya terperangkap dalam fasa masalah hidup. 

Mooji membicarakan tentang kebebasan yang hanya boleh dikecapi jika hal-hal tertentu dalam diri ‘dimatikan’ atau diperbaiki: “Do you really in your heart believe that death is possible. To be completely free of doubt, as to your nature. Do you really believe in your heart that this life is for freedom.” 

Bait ini banyak memberi inspirasi kepada Sxph yang merasakan bahawa penting untuknya mengasingkan hal-hal yang perlu diperbaiki atau dimatikan untuk kembali kepada asal manusia, iaitu kebebasan. 

“Masalah itu terlalu peribadi untuk saya ceritakan, my own inner battles that one day maybe I will share with the world.”

“Bebas daripada takut, risau, nafsu dan perkara-perkara yang holding me back in life,” jelasnya.

Antara lain yang menarik perhatian adalah melodi trek 9 “Kaya” dan trek 10 “Rahsia” yang kedengaran seperti bersambung namun menurut Sxph itu adalah kebetulan. “Kaya” menceritakan tentang kerja keras yang berbaloi dan percaya pada impian sendiri. “Rahsia” pula tentang ketidakpastian dalam hubungan.

“Tapi masa saya nak susun lagu ikut turutan saya rasa dari segi feel memang kena untuk kedua lagu itu rapat bersama.”

Kehadiran pemuzik jemputan seperti LastKhalif, B-Heart, Guccimith, Khodi dan lain-lain yang menyumbang kelebihan masing-masing bagi setiap trek menjadi pelengkap kepada NSRP untuk tampil sebagai sebuah album yang perlu diteroka jika anda mencari kelainan dalam muzik. Rata-rata lagu dalam NSRP bermula dengan beat dahulu. Semasa menggabungkan vibe dengan rentak, Sxph akan mendapat inspirasi siapa yang sesuai untuk feature ataupun tak perlukan sebarang pemuzik jemputan.

Misalnya, gandingan Guccimith dan Khodi untuk lagu “Rahsia” membawa pesona Pop R&B dengan vokal mereka yang cukup seksi. Kerjasama dengan Zhe Kamil juga lebih tertumpu kepada produksi.

“Zhe Kamil yang ramai orang kenal adalah melodi nyanyiannya tapi saya suka setiap lagu yang dia produce, dia seorang komposer yang agak saya kagumi.”

Sepanjang enam bulan NSRP diterbitkan, antara maklumbalas yang diterima olen Sxph rata-rata mengatakan album ini lain daripada yang lain dan itulah tujuannya. Walaupun ada kesilapan teknikal pada deskripsi genre Pop di platform Apple Music, NSRP sebenarnya masih di bawah genre Hip-Hop/Rap namun didatangkan dengan kelainan bunyian.

“To do something out of the norm and unusual. To disrupt the usual sound of rap music in the local music scene. Thank you so much and keep on streaming the album!” tambah Sxph menghargai.

Di akhir sesi temubual ringkas kami, Sxph berkongsi untuk terus berevolusi dengan muzik dan tidak akan kekal pada satu paksi dan satu fasa sahaja.

“Every human being will change as time goes. Untuk NSRP, ini adalah Sxph pada masa sekarang. In the future, who knows!”

Nisbah Sinematik Resolusi Penuh adalah penanda aras baru dalam arena muzik di Malaysia. Semoga akan lebih banyak eksperimentasi muzik sebegini di masa akan datang dan sebagai pendengar juga mungkin perlu lebih terbuka menerima dan tidak melulu menidakkan setiap bunyian baru. Pemuzik luar seperti Janelle Monae antara yang terawal menggunakan konsep hampir sama menerusi album sulung beliau The ArchAndroid pada tahun 2010. NSRP adalah pencetus dan permulaan bahawa muzik Malaysia juga mampu melakukan hal yang sama.

Dengarkan Nisbah Sinematik Resolusi Penuh di Spotify:

Leave a comment