An online music magazine based in Kuala Lumpur, Malaysia

“Teach Me How To Move On!” — Servants Meraikan dan Menutup EP Dalam Satu Malam

Sekitar showcase sambutan ulang tahun EP Servants “Holding On While Letting Go” — empat tahun selepas EP dilancarkan.

Memasuki tahun keempat sejak EP pertama mereka Holding On While Letting Go (HOWLG) dilancarkan pada Oktober 2019, Servants akhirnya berkesempatan untuk mengadakan sebuah showcase dan meraikannya bersama peminat mereka. Showcase sambutan ulang tahun itu dianjurkan oleh Naib Johan Records dan berlangsung pada 31 Ogos lalu bertempat di Live Fact, Petaling Jaya. Ekoran wabak COVID19 dan kekangan untuk berhimpun dalam keramaian mematikan hasrat Servants untuk turut mengadakan tour bagi HOWLG. Malam tersebut merupakan malam pelancaran sekaligus penutup bagi EP ini kerana Servants dalam proses menyiapkan album sulung mereka.

Kredit: CrizpyPixels Production / @crizpy_pixels

Sekitar jam 8:00 malam saya tiba di lokasi, sudah ada yang mula menebus tiket di pintu masuk. Kelopak bunga ros dapat dilihat sewaktu menaiki tangga menghampiri pintu masuk. Tetamu yang hadir diberikan sekuntum bunga ros, menghidupkan emosi sebelum menyaksikan persembahan. Acara dimulakan pada jam 8:15 malam oleh Dini Azri, drummer Night Skies And Visions, sebagai hos. Showcase ini menampilkan tiga pemuisi dan dua band jemputan untuk sama-sama memeriahkan acara. Daliliyana naik ke pentas sebagai pemuisi pertama membacakan beberapa tulisannya. Seterusnya disambung oleh sebuah band pop punk Panasejook yang membawa lagu-lagu mereka seperti “Titik Mula” dan “Takkan Mengalah”.

Joko Shafiz sebagai pemuisi kedua membacakan monolog dan sajaknya sebelum May Of Scarlet mengambil alih pentas. Membawa genre post hardcore dengan memainkan lagu asal seperti “Hipokrit” dan “Afornisme” dengan mudah menarik penonton untuk headbanging sewaktu set mereka. Pemuisi terakhir, EJ Safari membacakan tiga puisi meredakan suasana sebelum pentas diserahkan kepada Servants, paling dinantikan semua yang hadir pada malam itu.

Dikenali sebagai band alternative rock emo, Servants menyanyikan kesemua lagu dalam EP HOWLG seperti “Saudade”, “Fake”, “Teach Me How To Move On” dan lain-lain. Mereka turut memainkan lagu terbaru mereka iaitu “Selamanya Bukan Milik Kita” yang diterbitkan pada September 2022. Ia merupakan lagu bahasa Melayu pertama mereka dan berkolaborasi bersama EJ Safari untuk Spoken Word di hujung lagu tersebut. Tidak ketinggalan, lagu-lagu pilihan daripada album akan datang iaitu “Momento” dan “Selingkuh Jiwa” juga dibawakan sebagai teaser album sulung. Semasa persembahan lagu “Selingkuh Jiwa”, nyanyian korus berjaya membuat penonton untuk menyanyikannya bersama: “Yang indah itu hanya ilusi / Yang kekal itu hanya memori.” Cukup ringkas dan berkesan tambahan pula dibawakan dalam set akustik. Mood emo sepanjang persembahan Servants diselitkan dengan gimik taburan kelopak bunga ros dan belon berwarna merah. Sememangnya tidak dijangka sama sekali. Selain itu, giveaway bagi dua individu yang menggayakan pakaian emo terbaik dipilih untuk memenangi t-shirt eksklusif HOWLG.

Kredit: CrizpyPixels Production / @crizpy_pixels

EP “Holding On While Letting Go” diraikan dengan penuh makna sebelum Servants kembali fokus untuk pembikinan album akan datang. Showcase dan jualan merchandise mereka sedikit sebanyak mampu menampung kos album. Walau berat rasanya untuk tidak lagi mendengar HOWLG secara langsung selepas ini namun saya juga tak sabar apa bakal Servants tampilkan dalam album baru nanti.

Secara keseluruhan, EP HOWLG menggambarkan seseorang yang bertahan dalam perhubungan dan pada masa yang sama secara perlahan cuba untuk melepaskan. Servants berjaya menuang emosi dalam HOWLG dari segi melodi, lirik dan penyampaian. Tidak keterlaluan jika saya anggap ia antara EP terbaik saya pernah dengar. Mereka menggarap HOWLG dengan menggabungkan upbeat melody dan spoken words tanpa ada rasa janggal.

Antara baris lirik kegemaran saya adalah, “Two hearts drifting apart / And I’m half a whole,” dari trek 1, “I Wish It Was Only You”. Penceritaan apabila terjadinya perpisahan, seseorang itu akan merasa asing dengan diri sendiri; tidak lengkap seperti sebelumnya. Rintihan menerusi lagu-lagu dalam EP ini disampaikan dengan baik dan tidak melebih-lebih, cukup untuk membuat pendengar menghayati alunan melodi dari setiap instrumen.

Kredit: CrizpyPixels Production / @crizpy_pixels

Servants dibarisi lima ahli iaitu Amirul (vokalis), Rohaizad (drummer), Wan (bassist), Imran (gitaris) dan Afif (gitaris). Semoga Servants berterusan menghasilkan muzik emo mengikut acuan mereka sendiri dan selamat maju jaya diucapkan kepada mereka untuk album yang akan tiba nanti.

Leave a comment