Transitions kembali dengan buah tangan terbaru mereka iaitu ‘YOU’, salah satu lagu daripada album Introduction To Modern Poetry yang dijangka akan terbit pada 2024. Kali terakhir mereka menerbitkan lagu pada tahun 2020 menerusi lagu ‘Konversasi Sulit’. Walaupun begitu, Transitions masih aktif membuat persembahan di pelbagai acara dan membawakan lagu ini secara langsung. Akhirnya, 23 September 2023 menjadi tarikh pilihan mereka untuk melancarkan muzik video ‘YOU’ secara rasmi di Ceruk Temu, Shah Alam. Ruang acara yang saya lihat sangat sesuai untuk intimate session sebegini di mana cukup sekadar bersila di ruang utama dengan pencahayaan yang sempurna seperti pencahayaan fine dining. Susun atur ruang juga agak selesa dari sesi pendaftaran hingga ke ruang tengah (ruang santapan).
Ewan, salah seorang vokalis Transitions, memulakan acara dengan memperkenalkan nama-nama terlibat yang menjayakan proses penggambaraan muzik video ‘YOU’. Tayangan muzik video dipaparkan kepada penonton lebih awal, sekitar 25 minit sebelum ia terbit di laman YouTube jam 9 malam pada hari yang sama. Menonton bersama peminat dan rakan-rakan seperjuangan yang lain memahat satu kenangan bermakna dalam perjalanan muzik mereka.
Memandangkan acara berlangsung dengan agak santai dan tidak terkejar untuk ke sesi berikutnya, Transitions tidak mengecewakan mereka yang hadir apabila permintaan ulang tayang buat kali kedua yang disuarakan beramai-ramai turut ditunaikan. Respon positif sebaik saja berakhir tayangan, tepukan gemuruh diberikan tanda bangga dan semangat kepada Transitions.

Sesi soal jawab berkenaan muzik video dan lagu ‘YOU’ pula merangkumi beberapa soalan. Antaranya, tempoh masa diambil untuk proses menyiapkan muzik video ini. Difahamkan perancangan telah dibuat sekitar November 2022 dan Transitions berkeputusan untuk keluar dari zon mereka sendiri dengan berkolaborasi bersama Dollhouse Films, Aiiyko Studio dan beberapa pihak lain di sebalik tabir untuk muzik video ‘YOU’ yang dilakukan secara D.I.Y.
Aiman, selaku pemain drum menjelaskan bahawa Transitions mahukan idea atau pandangan baru melalui kerjasama ini dan hasilnya masing-masing berjaya terjemahkan mengikut kemahiran mereka. Manakala proses suntingan video masih mendapat sentuhan daripada Aiman dan Izmal. Aina Zamira Adnan, selaku pengarah muzik video berkongsi bagaimana konsep yang diterapkan adalah penceritaan dari sudut pandang seseorang yang menagih atau mengejar kasih (yang telah hilang atau tiada).
Pemilihan warna turut memainkan peranan penting. Sebagai contoh, warna merah digunakan sebagai simbolik kepada amarah dan kesedihan dan ia juga warna yang sinonim dengan Transitions. Tambah Hafiz Nazri selaku Props Master, “Colour palette is a must.” Dari sudut teknikal pula ada yang berpendapat ‘shot’ yang digunakan tidak menunjukkan sisi agresif Transitions. Jelas Aina dan Hafiz, mereka cuba ketengahkan konsep asal; fokus pada emosi selain daripada ruang yang terhad yang membataskan pergerakan.
Jamuan kecil disajikan kepada yang hadir dan setelah itu tayangan ‘Di Sebalik Tabir’ pembikinan muzik video dipaparkan. Band alternative rock Servants turut dijemput untuk membuat persembahan akustik. Transitions mengakhiri acara dengan membawakan lagu-lagu seperti ‘Contentment’, ‘Konversasi Sulit’, ‘Chokehold’ (cover Sleep Stoken) dan semestinya ‘YOU’.

Secara peribadi, saya merasakan bahawa props yang digunakan dalam muzik video seperti cermin panjang menggambarkan situasi refleksi diri sendiri yang menyaksikan kekesalan menyelubungi. Kehadiran ‘The Red Lady’, figura utama dalam muzik video ‘YOU, pula adalah campuran rasa sedih, sakit dan serba salah yang mengekori namun menjelma sebagai bayangan seseorang untuk menghukum yang lainnya kerana kesilapan lalu. Dari segi lirik, melodi dan vokal, Adam dan Ewan, tidak ada yang kurang. Secara keseluruhan, acara ini sangat penting bagi meraikan setiap pihak terlibat. Ia akan membuka lebih banyak peluang untuk kolaborasi baru di masa akan datang.
Tonton muzik video ‘YOU’ di bawah:







Leave a comment