OLEH KAMIL GONDANG
Terbitan No Good yang baru ceKELAT semacam mengabsahkan teori saya sebelum ni — lagu mereka pedang mata dua. Satu sisi semacam glorify segalanya tentang Kelantan. Sisi pedang yang lain pula lebih tajam, seakan mengejek mereka pula.
Lagu yang menginjak ahli politik dan penunggang agama itu tak perlu dikupas lebih. Selalunya lagu-lagu yang bersifat sebegitu jelas dan terang — lihat dan dengar: MahaDet, Yak Boktey antara contoh — bak billboard LED di malam hari di jalan-jalan utama Kuala Lumpur sekarang.
Tapi bila lagu berkaitan budaya, contohnya “Sek Kito Jange Pecoh (SJKP)” ukirannya halus. Dalam lagu “SJKP”, “PAH CEROH!” dilontarkan sebagai penutup.
“Pah ceroh” selalu dituturkan oleh penutur ibundanya sebagai satu statement yang membentak. Dalam bahasa rakyat Kuala Lumpur, ia mungkin semaksud dengan “Will it be like this forever?” atau “You memang tak nak berubah ke?”
Erti kata lain, “pah ceroh” selalunya tidak mempunyai konotasi yang positif. “Sampai ke sudah” adalah bahasa Melayu bakunya.
Saya fikir No Good mahu melestarikan slogan “sek kito jange pecoh” kerana “pah ceroh” mungkin diletakkan untuk membawa maksud “selamanya” atau “forever”. Selamanya sek kito jange pecoh? Mungkin, kan?
Tetapi “selamanya” dan “sampai ke sudah” menggendong dua maksud berbeza. Sebab itu teori saya, walaupun No Good glorify budaya Kelantan dan bergelumang dalam loghat tersebut sebagai identiti sebuah kumpulan, tak bermakna mereka perlu setuju dengan semua perkara. Anda fikir mereka betul-betul maksudkan baris pertama dalam lagu “Kelate Belongs To Me (KB2Me)”?
Maka mungkin ada beberapa perkara yang mereka mahu kritik tapi tidak mahu menjadi terlalu berahi dalam menyampaikan kritikan mereka. Lagipun, budaya Kelantan ada Conqueror’s Haki tidak berjasad, hantu raya yang memerhati dan saka rimau yang mengawasi.
Trek pertama “No Spekka English” lah yang membuatkan saya rasa bahawa teori saya ini mungkin benar. Dalam pemerhatian saya, Smek Almohdzar, frontman No Good, bukanlah seorang yang menolak Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian beliau secara total. Malah, latar belakang Smek sebagai seorang penulis, termasuk ciapan di Twitter atau temu ramah yang lepas, juga membuktikan Bahasa Inggeris bukan bahasa yang asing atau janggal atau dibenci oleh Smek. Jadi untuk apa kita merasakan bahawa lagu “No Spekka English” (Understand or not I wanna say ni woi / Mung pehey ko dok? / Ayae itik, keno educate) adalah satu hentaman terhadap Caucasian semata-mata, walhal ada kebarangkalian lagu itu refleksi untuk kita sebenarnya?
Namun, ini semua sekadar teori peribadi. Tidak perlu berantakan malah berbalah jika tanggapan saya salah. Sebab mungkin saja “pah ceroh” adalah perkataan yang diletakkan supaya ianya berima dengan perkataan “pecoh”. Itu je.
“Aku Nak Mosh” yang menampilkan Mira dari band screamo Piri Reis dan Tasha dari band hardcore punk Changes mempunyai potensi untuk diangkat sebagai lagu terkuat dalam EP ini. Ia kaya dengan zat-zat punk rock budu yang kita dah pernah rasa (dengar) dari karya-karya No Good sebelum ini. Pekikan “Aku nak mosh!” bertindak sebagai korus sekaligus sebagai cogan kata yang sudah boleh dibayangkan akan ditempik beramai-ramai semasa persembahan langsung. Jadi, lagu ini lengkap dengan sifat bingit, anthemic, sedikit selekeh dan membuatkan orang mudah merasa terkait. Mira dan Tasha tampil berbisa, tetapi lagu ini sudahpun berdiri atas kekuatan sendiri. Mungkin kerana penampilan yang terlampau singkat, impak mereka minimal. Malah kedengaran hanya sebagai vokal sampingan sahaja.
Yang menarik perhatian adalah unsur eksperimentasi No Good dalam lagu terakhir, “Dikir Barat Kepala Kain”. Arguably, mungkin “Gewe Abe” dari album 2021 mereka Punk Gong boleh juga dikategorikan sebagai eksperimentasi. Tetapi bagi saya lagu tersebut adalah sebuah lagu yang hanya berlainan genre, atau hanya sebuah lagu yang berentak perlahan.
Pertama, “Dikir Barat Kepala Kain” yang hanya berdurasi selama 3 minit 11 saat adalah lagu terpanjang dalam terbitan ini.
Kedua, ia dinyanyikan dalam satu note yang sama, walaupun gitarnya memainkan beberapa note yang berlainan.
Ketiga, bunyian seruling di bahagian latar lagu mengular ke dalam kepala sepanjang lagu berputar. Serulingnya kedengaran lebih kepada style “loop” berbanding permainan freestyle sekiranya dimainkan secara tradisional.
Lagu ini juga adalah satu statement rasmi: Mat Yie bukan lagi sebahagian daripada No Good. Malah, jikalau dilihat pada Bandcamp mereka juga, nama Mat Yie tidak lagi disenaraikan. Keseluruhan permainan bass bagi EP ceKELAT dimainkan oleh Boi dari band hardcore punk Eat Shit & Die. Walaupun dirakam oleh orang yang berlainan, signature bunyi No Good tidak terkesan dan masih lagi prominent.
Walaupun tidaklah sekuat terbitan yang sebelumnya, ceKELAT adalah sebuah lagi ulian tepung yang mengenyalkan lagi identiti No Good. Melalui terbitan ini, No Good patutnya bukan sekadar kugiran yang pekat dengan rasa love-hate relationship terhadap identiti Kelantan. No Good kini sudah menjadi sebuah genre. Mungkin inilah genre yang dinamakan “Fermented Anchovy Punk Rock Sauce” bak kata No Good sendiri.
Dengarkan dan beli ceKELAT di Bandcamp:
Kamil Gondang adalah seorang graduan undang-undang, pekerja meja 9-5 dan ada hobi yang bertukar-tukar antara bermain muzik, merakam dan mengadun lagu, mengecam lagu orang lain dan berlari.







Leave a comment