Menjadi antara saksi melihat kejayaan Raising The Bar Festival 2024 pada 25 dan 26 Mei lalu mengingatkan saya sekali lagi mengapa saya jatuh hati pada genre muzik hip-hop. Sepasang mata ini merakam banyak momen. Sepasang telinga ini mendengar pelbagai bunyian. Saya teringatkan Raising The Bar Festival 2021 yang dipaksa akur pada wabak Covid-19 lalu dianjurkan secara online. Atau Raising The Bar Festival 2016 yang saya terlepas kerana masih bergelut di kolej demi segulung kertas. Akhirnya, tahun ini saya dapat lihat secara langsung.
Barisan artis hip-hop Malaysia, Singapura dan Indonesia dikumpulkan dalam satu festival meraikan genre ini. Quai, SYA, LAZE (ID), ABANGSAPAU (SG), Young Benar antara barisan artis yang ada. Festival selama dua hari ini seperti meraikan 40 tahun hip-hop bertapak di Malaysia. RTB turut menjadi medium penting bagi ramai artis hip-hop di awal karier mereka. Bermula dengan gig bulanan, mengangkat bakat-bakat seperti Gard, Airliftz dan ramai lagi.

Sebagai seseorang yang sepenuhnya bergantung kepada pengangkutan awam, kemudahan free shuttle dari Gate MRT Sentul Barat ke blok KLPAC yang disediakan team RTB sangat-sangat dihargai ya. Walaupun pintu masuk utama hanya beberapa langkah dari MRT namun untuk ke blok KLPAC, mungkin perlu fikir sedalamnya lagi untuk berjalan kaki. Anggaran tambang e-hailing mencecah RM25 hingga RM28, untuk dua hala selama dua hari. Ibaratnya dah tolak daripada harga tiket festival. Senang melihat penganjur menitikberatkan perkara sebegini.
And I love the venue! Damai rasanya (sebab ku lihat hijau). Tasik yang tenang (saya yakin tiada buaya). Cuaca juga memahami, mendung manja dan rintik hujan lalu. Bahangnya ada tapi tak terasa. Oh, booth vendor juga tak banyak. Mungkin kerana ruang yang terhad atau ada café tersedia di dalam blok.

Saya sempat hadir pada sesi petang untuk kedua-dua hari. Membahagikan masa sebaiknya untuk mendengar perbincangan dan juga menyaksikan persembahan. Kalau dilihat tentatif festival, padat. Terserah kepada yang hadir mahu meletakkan diri di mana. Dua pentas utama, memaksa saya lari-lari anak (tak, jalan saja). Art exhibition, graffiti dan DJ set menjadi sebahagian daripada festival ini. Kelantangan team RTB dalam mewar-warkan ‘HIP-HOP AGAINST GENOCIDE’ dipamerkan menerusi pameran khas. Karya-karya seni mengangkat Palestin gah di ruang pameran aras 2.
Sayangnya, conference Developing A Champion Mindset pada hari pertama bersama rapper Aman RA, DJ Ken dan penari dan DJ Peot bermula lewat 30 minit. Saya terlepas persembahan pada jam 6:00 petang. Sedikit ralat namun saya fikir, akan ada lagi ke nanti conference sebegini? Cuma mungkin perlu elakkan hal ini terjadi lagi. Apapun, ringkasan perkongsian daripada sesi ini adalah pentingnya menjadi seorang yang berdisiplin. Konsistensi perlu ada supaya matlamat tidak sekadar berlegar di kepala. Kalau nanti umur dah cecah 55 tahun, you can still kick ass just like DJ Ken. That’s his strength and weakness!

Paling mencuri tumpuan saya adalah set R&B Rising pada hari kedua. Persembahan artis diiringi live band. Cukup tulus penyampaian daripada Guccimith dan Zhe Kamil. “Jangan kau lupa / kau istimewa sangat sempurna,” saya rasa terawang seketika mendengar ‘Lepaskanmu’, walaupun sebenarnya lagu ini berkisar memujuk pasangan reda dengan perpisahan. Duo R&B ini sudah berada di kelas mereka tersendiri.
Seterusnya, persembahan lain yang cukup dinamik adalah daripada Ziji.Q. Ini pertama kali saya menyaksikan Ziji.Q secara langsung. Dialek Sarawak digunakan dalam lagu-lagunya. Menambah rasa ingin tahu dalam diri saya. Saya bawa pulang ‘RINDU,PADAH’ sebagai lagu kegemaran pada malam itu. Di streaming platform, arrangement lagu ini sangat berbeza berbanding dengan arrangement yang Ziji.Q bawakan di RTB. Saya suka versi di RTB Fest 2024! Lebih segar dan bertenaga. Well delivered!
Dan, di set terakhir Izhar membawa saya jauh mengenang momen di mana saya hanya mampu melihatnya di atas pentas sebagai featuring artist. Baru kali ini saya sempat menonton set solonya. Semoga saja lebih ramai peminat muzik R&B di Malaysia mengenali keempat-empat mereka.

Antara lain yang sempat saya saksikan termasuklah Jaystation yang bersatu dengan lagu-lagunya. ‘Grocery Run’ membelah malam akhir RTB Fest 2024. Memisahkan rasa untuk berhibur semata. “Aku resah bila fikir apa yang bakal menanti / Tapi apa ku tahu / Ada penghujung jadi ku jalan till jantung berhenti.” You gotta give your all for what you love, and you’ll overcome the doubts in your head. Jaystation sememangnya seorang rising star.
Semasa di set Nonsenselaaa, dia bawa bersama sekumpulan hype man naik ke pentas. Ia bukan satu masalah pada saya. Cuma sedikit kecewa energi mereka tidak sampai. Nonsenselaaa berupaya menguasai pentas sendiri. Mungkin perlu lebih bekerjasama dalam memastikan mereka tidak statik di atas pentas dan hanya aktif bergerak untuk seketika sahaja.

Yang tak disangka, kemunculan Joe Flizzow di set Sonaone. Maka, ‘Satu Malam Di Temasek’ saya tukar menjadi ‘Satu Malam di RTB’. Kerana malam itu menjadi jarak paling dekat saya melihat beliau membuat persembahan. Ada lagi yang tak disangka! SXPH dan NBE (SSK) mengubat rindu peminat mereka dengan membawakan ‘Bintang RTM’ setelah sekian lama. Bayangkan, anda tak pernah dengar lagu ini live. 2024, di RTB. Hanya di RTB!
“Hip-hop bukan pasal duit dan perempuan,
Buat semakan dulu, jangan buat semak boleh kan?”
Saya kagum bagaimana Tish Errda berada di beberapa set selaku featuring artist kepada ahmadjohnson69, SXPH, 53 UNIVERSE dan SOPHIARAZK. Gadis dari Singapura ini perlu diberi lebih perhatian, muziknya berwarna. Kalau ingin mengenali Tish Errda, boleh cuba dengarkan ‘Bicara’ dan ‘Bulan’.
Siapa sangka, RTB juga menjadi memoir terakhir buat TASHEY dan Loca B. TASHEY mengumumkan persaraannya sewaktu set Citybois manakala Loca B pula memuatnaik hantaran di Instagram beberapa hari selepas RTB Fest 2024 (namun kapsyen asal telah dipadam). Arena ini kehilangan dua bakat penting lebih-lebih lagi dalam kelompok artis wanita Malaysia. Walau apa jua keputusan mereka, ruang ini akan selalu ada jika mereka mahu kembali aktif.
Begitu juga dengan RTB, saya yakin dan percaya acara ini akan sentiasa kekal dalam ingatan artis dan peminat muzik hip-hop negara. Selebihnya, saya cukup berpuas hati. Hujung minggu terisi dengan memori manis. Inilah sebahagian daripada kenangan di RTB yang sempat saya kongsikan. Semoga Raising The Bar Festival 2024 bukanlah yang terakhir!







Leave a comment