An online music magazine based in Kuala Lumpur, Malaysia

Bin Lo-Fi

Esei tulisan Mohd Jayzuan.

OLEH MOHD JAYZUAN

Kalau Jeff Mangum, Daniel Johnston atau Calvin Johnson budak Malaysia, saya pasti mereka akan dicemuh kerana tak menyanyi dengan benar. Atau kerana tak boleh menyanyi, jika mengikut aras arus perdana (boleh jadi juga indie perdana).

Itulah indahnya suasana kontra-budaya, kerana ia tak bergantung dan mengikut landasan dibentuk oleh industri konvensional. Lalu Jeff, Daniel dan Calvin boleh menyanyi mengikut suka hati kepala daddy.

Graham Coxon, si genius-gitar itu juga turut cakap, ‘aku menyanyi, tapi tak rasa aku adalah penyanyi.’ Ini kerana dia faham, muzik indie bukan semata-mata tentang nyanyian, teknikal atau bunyi gempak meletup pom pom pom macam apa dijaja industri, walaupun dia datang daripada Blur, band yang mega dalam industri popular.

Muzik punk wujud untuk melawan arus rock tipikal di zaman itu, kemudian terberanak pula No Wave yang hidup cuma sebentar untuk memberi respon-lawan kepada punk yang juga dah mula mengikut acuan-resepi sama beberapa tahun lepas letusan punk 1977. Maka begitulah rantaian terus berlaku memicu respon demi respon terjalin mengharapkan apa-apa yang mungkin baru dan berlainan tercipta.

Ini hal sihat dan patut diraikan kalau benar kita adalah sebahagian daripada geng barang lain-macam.

Lo-fi walaupun banyak jenisnya, ada yang pop, yang metal, yang punk, yang hip-hop atau yang yang–tapi ada satu hal yang sama; ianya seasli mungkin, sebogel mungkin, se-tak digilap mungkin dan banyak (bukan semua) yang seasas mungkin.

Ia juga paling mirip dan hampir dengan etos punk yang menolak sebarang bunyi tipikal di zamannya. Lo-fi muncul untuk mengacau hi-fi. Lo-fi ini macam orang gasar.

Jadi masa saya keluar album solo pertama, ‘Love-fi’ (2008), saya secara tak langsung mengeletek sahabat saya, si Aizat Amdan yang dalam senarai saya sebagai seorang penulis-pencipta lagu pop di liga arus perdana yang dahsyat.

Komposer legenda saya hormati, Aidit Alfian pernah cakap yang saya dan Aizat satu geng singer-songwriter — kami ada persamaan katanya, saya tak membantah walaupun saya tahu, kami hanya sama kerana dua-dua ketika itu muda dan angkat gitar tong. Aizat memang penyanyi, manakala saya pula datang daripada akar underground penuh abstrak, selebet dan menyanyi tak tentu hala.

Jika brother Aidit dengar rakaman pertama saya bersama band, Free Love yang bertajuk ‘Indie Rock Darling’ (2003), mungkin dia tak akan keluar kenyataan begitu (yang saya pasti sekarang dia juga sudah lupa!) dan akan suruh saya duduk diam-diam main underground saja.

Sejak zaman-berzaman, sudah menjadi lumrah untuk ramai menilai, mengkritik atau mengadili muzik dengan melihat sisi teknikal semata-mata, yang mana tak salah kalau kita memang datang daripada industri arus perdana.

Tapi wajib disedari dan difahami, oleh kerana kita berada dalam suasana alternatif, muzik harus dihakimi melampaui hanya semata-mata teknikal. Patut turut diteliti melalui konsep, idea dan visinya juga kerana sangat tak munasabah untuk mengulas sebuah karya lo-fi pop dengan bersandarkan ilmu muzik pop ramah radio atau membandingkan karya indie sleaze dengan indie cute TV.

Disebabkan ini maka pengkritik atau pendengar kita wajib membesarkan pustaka muzik dan telinga. Sebagai contoh, harus fasih membezakan muzik indie ‘indie’ dengan muzik indie ‘bebas major label’ dan hal-hal lain yang membuatkan citarasa kita ada mutu dan unggul.

Renungkan ini, bagaimana Arcade Fire yang penuh teknikal dengan bunyi yang sungguh besar dan kompleks mengangkat Neutral Milk Hotel yang bersepah dan pitching tak sampai sebagai salah satu kiblat mereka? Ini jelas kerana Win Butler dan rakan-rakan faham muzik NMH bukan tentang terer, skill, menjilat radio atau indie hensem.

Dengan memperkayakan masa mendengar ia akan membantu penilaian kita agar tak menjadi dangkal lalu kelihatan sangat jelas tak berilmu.

Bukan sekali-dua geng gitar hero mentertawakan band indie yang hanya bermain power chord atau mamat rock bersuara tinggi memperlekeh Noh Salleh (awal kemunculan dulu kerana Noh nyanyi tak tinggi), malah wartawan tak celik muzik bersungguh-sungguh nak nampak bad ass mengkritik hal yang mereka sendiri tak tahu.

Masyarakat kita disogok dengan wajib nampak terer daripada muzik hinggalah ke seni. Yang mana saya bantah dua ratus peratus.

Dalam seni kontemporari ada yang namanya seni berkonsep (conceptual art). Minah atau mamat yang berfoya-foya dengan seni berkonsep ini, tak perlu ada skill atau tangan berseni pun. Cukup ada bayangan visi dalam kepala lalu diterjemahkan kepada rakan usaha sama yang pakar dan mahir dengan sesuatu teknik atau kraf mengikut apa yang si seniman ini imaginasikan. Lalu jadilah karya dan sang artis bergelumanglah dengan kemasyuran atau mungkin kalau bernasib baik teruna dan dara yang gebu-gebu.

Contoh yang mungkin lebih dekat dengan muzik pula– bagaimana si artis pop art ulung; Andy Warhol, yang bukan pemuzik mampu menjadi produser The Velvet Underground dan album itu akhirnya menjadi karya paling ikonik mereka.

Semuanya dalam kepala, ada di citarasa, berputik dalam otak bergeliga-boleh-bikin batu cincin dan mereka yang kaya dengan pustaka serta cerdas meneliti punya kebarangkalian mengzahirkan keajaiban.

Lain-lain hanyalah bunyi bising.

Saya sekali-sekala akan road trip berdua dengan Zulhezan. Dia sangat terperinci orangnya, ini boleh dilihat melalui karya-karyanya. Manakala saya, orang yang lebih cincai dan apa yang jadi, jadi. Saya akan terima seadanya. Ini juga boleh dilihat dalam karya-karya saya. Zul ying dan saya yang. Zul matematik gila dan saya lo-fi tak peduli.

Apa membuatkan kami sama adalah hantu dalam kepala. Dia ada visi, saya juga punya. Visinya berlapis-lapis dan sukar diterjemah, manakala visi saya rileks-rileks semudah A, B, C.


MOHD JAYZUAN adalah seorang seniman multi-disiplin, telah hasilkan lima buah album bawah pelbagai moniker, sembilan buah buku, beberapa filem underground \ seni-video, sekali-sekala berpameran di serata Eropah dan Timur Tengah. Pengasas kolektif artis-kengkawan, Projek Rabak.

Leave a comment