Hausboom sebagai jenama minuman sparkling juice tempatan mula bergiat dengan penganjuran festival muzik yang kini sudah tahun keempat diadakan. Saya hadir di tiga edisi sebelumnya pada tahun 2019, 2022 dan 2023. Ingatkan tahun ini tak ada rezeki. Tapi saya masih cuba nasib dengan menyertai peraduan daripada stesen radio ERA. Pada malam 4 Oktober, saya berada di rooftop MyTown Mall, Cheras dan menerima e-mel serta mesej menyatakan saya menang tiket ke Hausboom Music Festival 2024 yang berlangsung keesokan harinya. Oh, rezeki!
Antara memori dapat saya tarik keluar adalah berjumpa kenalan lama dan baharu, pengalaman carpool ke venue yang terhad pengangkutan awam atau menyaksikan artis kegemaran buat pertama kalinya. Berbalik kepada rasa teruja, saya masih ingat edisi pertama HBM 2019, saya bersama rakan-rakan daripada group bola GSB (bukan kultus ya!). Saya juga teruja nak tengok Aman RA (pertama kali!), B-Heart (terlepas sebab beratur nak masuk lama gila?!) dan Budak Nakal Hujung Simpang (first time juga!). Begitulah seterusnya di tahun lain. Teruja itu sekadar berlegar sekitar perkara yang sama.
5 Oktober, hari pertama HBM 2024. Selesai tugas hakiki saya separuh hari barulah saya bergerak ke KL Sentral. Dari sana menaiki shuttle (edisi sebelum ini tak disediakan) Kummute atau nama lamanya Kumpool ke KL Base. Saya baca poster tentang shuttle ini, ia satu penambahan positif. Sebaik saja sampai di KL Base, hujan (bukan band) menyambut kedatangan saya dan mereka yang baru tiba. Kali kedua saya tengok orang menyanyi dalam hujan.

Sebelum tebus tiket saya berteduh di bawah booth merch Parade Hujan di kawasan parkir untuk menyarung baju hujan. Saya tertanya, ada syarat atau terma tertentu yang menghalang artis-artis menjual merchandise mereka sendiri di dalam venue? Hal sama terjadi di HBM 2023 di mana saya melihat ahli Sekumpulan Orang Gila atau S.O.G menarik bagasi berisi merchandise mereka di luar venue. Berada di satu tempat, peminat datang dan beli. Tetap saja ditegah pihak berkuasa dan melarang mereka berbuat demikian. Apa akan terjejas sekiranya satu ruang khas jualan merchandise artis jemputan disediakan di dalam venue?
Perjalanan menuju ke pentas entah berapa meter berjalan kaki dari pintu utama. Sempat saya menyaksikan No Good dan Parade Hujan petang itu. Sesi malam dimulakan dengan set DJ oleh DJ Fuzz seawall 7.30 malam. Saya agak dalam 7.50 malam mengikut rundown atau paling lewat pun 8.00 malam akan bersambung slot Siti Nurhaliza. Kerap kali saya melihat jam di tangan. Seingat saya, DJ Set makan masa 40 minit sebelum Siti naik ke pentas. Bagi saya, selang seli antara persembahan artis dengan DJ Set okey saja dalam tempoh 10-15 minit. Saya tak berdaya menunggu lebih dari itu. Saya simpulkan hari pertama ini sebagai hari percubaan.
6 Oktober, Day 2 HBM 2024. Hari kedua macam lebih semangat sikit. Saya teruja kerana The Rudean, sebuah band rock and roll membuka pentas di awal tengahari. Mereka telah membuat persembahan di Hausboom Gig pada 8 Jun lalu. Siri yang memberi peluang kepada band-band tempatan untuk mempamerkan kelebihan mereka sebelum dipilih beraksi di pentas utama Hausboom Music 2024. Saya pernah menonton persembahan mereka beberapa kali sebelum ini dan saya yakin ia akan dimanfaatkan sebaiknya oleh mereka.
Sangkaan saya tepat, The Rudean kekal dengan kualiti persembahan terbaik mereka. Namun, di kawasan rockzone hanya seperti kekurangan penonton. Selesai sahaja sesi The Rudean, barulah kawasan ini semakin dipenuhi. Memang pilihan masing-masing, tetapi dalam meraikan #lokallagiboom kenapa tidak diberikan 20 minit dari masa anda kepada mereka?
Kemudiannya, ada perubahan pada turutan persembahan keempat apabila Luqman Podolski lebih awal naik ke pentas sebelum Iqbal M. dan 53 Universe. Tiada makluman rasmi mengenai perkara ini. Semestinya ada peminat yang terlepas persembahan artis kegemaran mereka.

Selebihnya, saya putarkan isu-isu kecil dalam kepala. Tentang harga laksa RM12, satu booth minuman Hausboom boleh add on ais ada satu booth tak boleh add on atau kenapa laluan untuk terus ke pentas utama tak diwujudkan? Banyak kan kenapa.
Hakikatnya, festival ini tidaklah gagal secara total jika tumpuan utama adalah mengumpul jumlah pengunjung yang ramai untuk menyaksikan barisan legenda artis tanah air. Perniagaan dan hiburan dah tak dapat dipisahkan. Saya cuma berharap, jika ia diteruskan lagi tahun hadapan mungkin pihak Hausboom perlu tajamkan makna lokal dari segi kreativiti. Manfaatkan bakat tempatan juga untuk content promosi dengan idea segar daripada mereka. Kita boleh jadikan sesebuah festival sebagai inspirasi namun bukan mengikut sepenuhnya apa yang dilihat.
Gahnya nama Hausboom takkan saya pertikai. Hanya mampu berharap dengan sumber yang ada Hausboom mungkin boleh membuka ruang dan peluang lebih lagi kepada industri muzik lokal.







Leave a comment