An online music magazine based in Kuala Lumpur, Malaysia

Merungkai Segala Urusan 53 Universe

Dari rakan sekolah ke rising name dalam genre hip-hop Malaysia, ini kisah permulaan 53 Universe

Hasil perbincangan bersama Pele L. melalui DM Instagram sekitar Disember tahun lepas membawa saya ke 53 Studio. Ini adalah sesi pertama saya menemubual pemuzik secara bersemuka sepanjang saya beranikan diri menulis perihal muzik tempatan. Bahkan, ini juga kali pertama saya betul-betul menjejak kaki di bandar Melawati. Gugup? Sudah semestinya.

Saya tiba di 53 Studio sedikit awal. Sementara menunggu Pele, saya dan team Noisy Headspace meninjau kawasan sekeliling. Deretan kedai mengelilingi studio mereka, Melawati Mall juga berhampiran. Dalam lima minit selepas itu, Pele sampai dan kami dijemput masuk ke studio. Keramahan Pele dalam menyambut kedatangan kami membuat kami selesa untuk berbual. 53 Stu lengkap dengan bilik rakaman, ruang santai dan juga ruang yang ingin dijadikan bilik rehearsal suatu hari nanti. Grafiti dan hasil seni nama 53 terhias bangga di dinding, sayang ia tak dapat dipamerkan di luar studio ekoran lesen pengiklanan tahunan yang mahal.

Mengorak langkah lebih serius sekitar tahun 2021, kini 53 Entertainment semakin rancak melebarkan sayap menerusi muzik yang dibawa. Menarik apabila poskod 53100 mengiring rapat perjalanan mereka yang dipecahkan kepada tiga bahagian: 53 Entertainment sebagai syarikat berdaftar untuk urusan rasmi dan record label, 53 UNIVERSE jenama yang fokus kepada artis dan 53 STU sebagai studio rakaman.

Sembilan artis kini bernaung di bawah label 53 termasuklah Pele L., Fuego, Ryb3na, YBJ, Mad Muz, A2M, IMRN, AMK & Faiz Ruzayn. 53 bukan hanya mahu menaikkan scene hip-hop di Malaysia malah turut mengetengahkan kekuatan soulful vokal antara mereka.

Menurut pengurus mereka, Mr Shae, beliau mula memperkenalkan Pele L. kepada Fuego yang sebelum itu bergerak solo sebelum yang lain menyusul.

“Bila Pele dah betul-betul into the music scene, baru I start jumpakan dia dengan Jay (Fuego). Jay selalu buat Freestyle Friday dan Pele pun familiar dengan Jay masa tu,” jelas Mr. Shae.

Melawati ini kawasan yang kecil di mana everybody knows everybody dan sebenarnya mereka adalah senior dan junior di sekolah yang sama. Tulang belakang 53 yang tidak terlibat secara langsung dengan muzik juga daripada kenalan rapat.

Sedar tak sedar sepanjang perkenalan ini telah menjadi titik penting kepada Mr. Shae dalam menguruskan artis di bawah record label buat pertama kalinya. Menurut Mr. Shae, ‘budak-budak’ 53 ini ada kenakalan mereka sendiri jadi perlunya seseorang yang strict and fun at the same time.

“They’re a group of youngsters yang you nak bring out there dan nak bawa nama baik.”

Apabila bercakap tentang “bawa nama baik” 53 ke pentas yang lebih meluas, Pele mengimbas kembali persiapan rapi sebelum beraksi di pentas besar seperti Hausboom Music 2023 dan Budak Belakang Graduation Day 2.0. Sebagai persiapan, 53 bekerjasama dengan Cikgu Shafi seorang guru vokal yang tidak asing di kalangan artis Malaysia. Studio vokal Cikgu Shafi juga di Taman Melawati, beberapa blok saja dari 53 STU. Latihan-latihan seperti teknik penyampaian, pernafasan dan sebutan membantu meningkatkan kualiti dan keyakinan mereka semasa membuat persembahan.

“Every single choice yang kita buat sebab kita nak move out of the norm.”

“Yang kita selalu nampak dalam muzik Malaysia, kita nak elevate,” kata Pele.

Saya bertanya kepada Pele soalan yang saya anggap wajib untuk ditanya kepada pemuzik hip-hop di Malaysia: Sejauh manakah pencapaian yang dapat diraih oleh artis hip-hop masa kini? Apakah had maksima sebagai seorang rapper di Malaysia? 

Kesimpulan daripada Pele sendiri: limitless. Katanya, selagi 53 ada usaha, arah tuju dan strategi yang betul tiada yang mustahil. Malah, Pele yakin, Grammy pun bukan hadnya untuk mereka.

Untuk album Semoga Dipermudahkan, Fuego membuka cerita tentang nama album sophomore yang dipilih. Pada awalnya, Family & Friends seakan menjadi tajuk pilihan untuk album kedua namun ia kedengaran terlalu generik. Menurut Fuego, pertukaran nama album dilakukan sesuai perancangan mereka dengan mahu menerbitkan album yang terbahagi kepada dua bahagian; Semoga Dipermudahkan (bahagian 1) dan Segala Urusan (bahagian 2) juga dijangka akan terbit tak lama lagi.

Semoga Dipermudahkan menawarkan keseimbangan antara genre rap dan Pop-R&B, selari dengan konsep universe yang dibawa. Proses mencari idea dan ilham juga datang dengan cara mereka mendengar lagu-lagu rap bahasa lain seperti Arab dan Itali.

“Dalam new album ni, kita buat je sebenarnya. We didn’t think of any genre pun. For example, trek 3 “Bawa Lari” pada awalnya tak serancak itu,” kongsi YBJ.

Album ini juga berjaya menggandingkan ahli 53 bersama beberapa artis lain seperti Zynakal, Ainina Hasnul, Rudeen, Airliftz serta dua artis dari Singapura iaitu Tish Errda dan Ki Zikry.

“(Untuk) Semoga Dipermudahkan, kita nak bekerja dengan orang yang inspired us throughout the whole 53 punya journey.”

“We appreciate that because the industry is very welcoming,” ujar Ryb3na.

Untuk album kedua ini, 53 mengambil risiko dengan tiada hebahan secara besar-besaran dilakukan kecuali acara pelancaran yang sempat diadakan awal Februari lalu. Walaupun menumpukan sepenuh perhatian terhadap produksi album, masing-masing masih menggalas peranan untuk mempromosikan lagu-lagu mereka mengikut kreativiti setelah album rilis.

“Kita 53 (label) sebagai mak ayah saja, untuk pastikan korang masuk universiti korang kena belajar betul-betul lah,” jelas Pele.

“Kena promote, kena buat content sendiri, pandai-pandai share dengan kawan-kawan. Kalau tak letak effort, kita tak akan nampak hasilnya.”

Bercakap soal puas, ia sesuatu yang tidak akan pernah habis atau selesai. Sebagai seorang artis, insecurities pastinya akan menjengah diri mereka. Semoga Dipermudahkan mengandungi 21 lagu yang sememangnya banyak, tak menang tangan untuk hadam semuanya dalam sehari. 

Kata Fuego, mencari titik sempurna bagi kesemua 21 lagu bukan mudah, ada lagu yang mencecah 10 fail berbeza sebelum akhirnya mereka dapat hasil terbaik.

Fokus 53 buat masa sekarang terletak pada misi untuk memastikan setiap ahli maju ke depan. Dalam album mereka, tidak akan ada satu lagu dinyanyikan oleh semua ahli sekaligus. Memang itu cara mereka. Malah, mereka juga ingin merilis projek solo/duo ahli 53 namun hanya masa yang akan menentukan.

“Kami tak nak beri sebarang tekanan yang boleh menjejaskan kualiti muzik,” kata Fuego. 

“53 lebih selesa mengatur satu persatu apa yang dirasakan sesuai mengikut keadaan.”

Impian 53 adalah menjadi satu platform untuk menyatukan semua orang sebagaimana yang berjaya mereka lakukan untuk album kedua ini dan seterusnya. Biar bergerak perlahan asalkan kekal utuh dan bertahan selamanya hingga menjadi satu legasi.

“I find the beauty of (being) independent or (having our) own movement. Originally follow your own pace,” kata Fuego.

“It’s not like we don’t do the work or we don’t have the product, we have it but you guys just have to wait for it.”

Dengarkan album penuh Semoga Dipermudahkan di Spotify:

Leave a comment