Selamat datang ke alam muzik 53 UNIVERSE dan selamat mengikuti kembara mereka yang dipelopori Pele L., Fuego, Ryb3na serta gabungan bakat-bakat muda seperti YBJ, A2M, IMRN, AMK, Mad Muz dan Faiz Ruzayn yang membawa jiwa mereka berpaksikan Taman Melawati.
Album kedua mereka Semoga Dipermudahkan akhirnya terbit secara rasmi pada 5 Mac, dengan 21 lagu dimuatkan, sememangnya jauh dari kebiasaan bagi artis untuk menerbitkan album sepadat ini. Namun buat 53, tiada yang asing di sini, hanya sebuah kolektif yang penuh cita untuk menjadi kolektif hip-hop terbaik Malaysia. The next big thing.
Universe yang menjadi nama pentas mereka dituang sebaiknya meliputi album ini. Muzik itu sendiri universal, tidak perlu terikat kepada satu aliran sepanjang masa dan 53 merealisasikan impian mereka dengan album ini. Jika album sulung mereka M16 dilihat sebagai pengenalan setiap ahli kepada peminat muzik tanah air, Semoga Dipermudahkan pula adalah gerakan lebih serius kerana pendengar akan lebih memahami istilah ‘universe’ yang dimaksudkan.
Sejurus dilancarkan seminggu sebelum bulan Ramadan, album ini terus menjadi fenomena di TikTok dengan trek “PP at Bukit Tabur” nyanyian YBJ feat. akkimwaru dan DKyoumadethis & Meorey selaku produser. Di Spotify, trek ini sudah mencecah lebih sejuta streaming, berjaya melepasi lagu hit mereka “Gard O Gard” dari album sebelum ini.
Kejayaan ini mungkin boleh dikreditkan kepada pengguna TikTok yang menggunakan trek ini sebagai muzik latar trend video transition. Malah, sampling lagu “Zuraida” oleh Azman Idris sebagai intro yang catchy mengukuhkan lagi trek ini untuk memasarkan muzik mereka dan meraih kelompok pendengar yang lebih besar. Adakah “PP at Bukit Tabur” dapat membawa 53 UNIVERSE ke tahap yang mereka impikan atau ia akan kekal sebagai one hit wonder yang diulang-ulang di TikTok?
Hubungan antara ahli 53 bermula dengan perkenalan daripada mutual friends, belajar di sekolah sama atau berjiran di Taman Melawati. Dalam trek pertama “21 Million” nyanyian YBJ & Ryb3na, intro menyusup masuk dengan penuh debaran, seolah-olah mahukan pendengar bersedia, sebelum Ryb3na masuk untuk merancakkan trek dengan mentaliti brotherhood: “Bruddas sama rata / We gon’ ride sampai hujung nafas” dan seterusnya “KL city gon’ be sunyi gila tanpa YB / The city gon’ be sunyi gila tanpa 53.”
Terdapat juga beberapa lagu yang diperam menunggu tempoh matang sebelum dipilih untuk dikongsikan kepada pendengar. Contohnya, trek kesepuluh “Ocean Tears” nyanyian Ryb3na & Pele L. bersama Ismail Izzani. Saya berpeluang mendengarnya secara langsung sekitar dua tahun lalu di gig Metrono 2022. Ketika itu, hanya slot duo Pele L. & Fuego namun ahli 53 yang lain turut diberi peluang berkongsi pentas.
Sebaik melodi trek ini dimainkan, pendengar mungkin dapat terus menangkap sampling lagu “Cry Me A River” oleh Justin Timberlake. Namun bagi saya, ia membekas di ingatan kerana bait lirik “Aku tak fasih gerak-geri yang kau berikan / Don’t be saying my name, jangan sebut namaku / Take a look what you’ve done.”
Di tengah keramaian gig itu, saya cuba terus menonton persembahan walhal di fikiran saya pula sedang ligat memikirkan lirik itu. Ia seakan meletakkan saya dalam sebuah kekeliruan, ia tidak mendorong kepada kebencian, namun masih perlu ditamatkan. Ketidakpedulian terhadap tohmahan pula dibangkitkan menerusi verse Ismail Izzani: “Livin’ life, live in the moment / Got too many problems in my life but still I’m shining / This is my reality, ramai orang benci / But I keep on moving make the money move.”
Trek 13 “GBK Cypher, Vol. 10” pula adalah kesinambungan siri cypher God Bless Klique. GBK diwakili Raff En Cinnamon, $kid dan Hxmba, seakan membawa vibe classical rap seperti lagu “Ms. Jackson” oleh Outkast. Kali terakhir GBK merilis siri ini adalah pada tahun 2020. Jika mereka berkesempatan untuk meneruskan cypher ini di masa akan datang, ia dapat menjadi rujukan kepada peminat hip-hop di Malaysia. Sayang sekali jika usaha mereka terhenti begitu saja.
Jika dibandingkan peningkatan 53 daripada album M16, saya melihat A2M, AMK dan IMRN masing-masing lebih menyerlah kali ini. Kali ini, mereka ada pesona tersendiri dengan pilihan trek yang sesuai dengan vokal. Cara mereka membawa modern Pop/R&B juga perlu diberi lebih perhatian. Rilisan penuh secara berkumpulan tidak akan menenggelamkan kelebihan seseorang artis jika mereka yakin dengan karya yang mampu mempamerkan sisi terbaik mereka. Jelas di sini, AMK tampil mencabar dengan trek 19 “Cemburu” bersama featuring artist Ainina Hasnul dan sinar IMRN menerangi trek “Purple”.
Tatkala seronok melayan rentak yang membuatkan saya headbang separa sedar, muncul trek seperti “Moonshine”, “X Stay” dan “Bicara”. Lantunan melodic rap di samping kehadiran artis jemputan seperti A-Kid, Airliftz, ChronicalZ dan Tish Errda yang tepat mengisi sebahagian dalam lagu-lagu ini. Mengapa saya cakap tepat? Ambil sahaja contoh “Moonshine” hadir dengan susunan kata Airliftz yang beralun dan memberi keseimbangan kepada Ryb3na, AMK dan A-Kid untuk melengkapkan trek ini.
A2M & ChronicalZ pula tampil dengan sisi berbeza dalam trek “X Stay”. Kekecewaan jelas dirasa dan meletakkan lagu ini sebagai lagu paling beremosi, mengingkatkan saya kepada karya A2M “Pertama” yang dirilis menggunakan nama Azam S. Penceritaan tentang menerima hakikat dan bersedia untuk kehilangan: “Baby it’s about time, aku gerak dulu / Even I lost myself, jalan hidup tanpamu.”
Hanya trek “Entah” nyanyian Faiz Ruzayn feat. Zynakal dan MDA yang saya rasakan sedikit janggal sewaktu pertama kali mendengarnya. Ia tidak kurang dari segi vokal dan lirikal tetapi terasa ada kehilangan sesuatu istimewa pada tempo awalnya. Intro pada saat 0:15 yang mencetus kejanggalan tersebut pada saya. Menghampiri saat 0:56 trek ini kembali ke tempo yang lebih sesuai.
Rilisan album dengan 21 trek sedikit berisiko kerana memerlukan kos produksi yang lebih tinggi di samping gandaan usaha yang konsisten bagi memastikan hasil akhir setimpal dan memuaskan. Namun ia jelas bahawa 53 UNIVERSE serius menjaga kualiti. Saya ibaratkan Semoga Dipermudahkan sebagai satu hidangan lengkap pelbagai rencah dan rasa. Ke manakah destinasi 53 UNIVERSE selepas ini? Adakah semesta mereka akan terus berkembang? Lebih ramai pendengar arus perdana atau mungkin persembahan pertama di luar negara? Hanya masa yang akan menentukan.
Dengarkan Semoga Dipermudahkan di Spotify:







Leave a comment